Rabu, 4 Januari 2017

DARI DANG WANGI KE JINJANG








DARI DANG WANGI KE JINJANG
Pagi Ahad 20 November saya mengeliat cuba bangun perlahan-lahan  dari bilik lokap Dang Wangi.  Saya merengkok sejuk kerana berhadapan dengan kipas  besar buatan China yang sekejap terpasang sakejap tertutup. Bisingnya jangan dilawan - jika dilawan pasti tak dapat tidur. Jadi bising ini  wajib dilayan untuk mendodoi tidur. 

Akhirnya saya bangun kerana terlalu sejuk. Lalu beralih jauh ke tepi pintu. Ini ambin yang saya rasa direka   untuk buat tempat sembayang. Ini rekaan bentuk baru lokap Dang Wangi.

Bila sudah berumur memang amat susah  menjalar  tidur dalam lokap tanpa bantal dan kain selimut.  Kali pertama September 1974 dahulu  tidur di lokap Johor Bahru tidak ada apa-apa masalah. Malah ketika 3 bulan dalam lokap dan penjara di Bombay pun saya tidak ada masaalah. 

Tapi kali ini - bila sudah masuk  enam siri - nak beralih badan pun amat terseksa.

Sayugia diingatkan dalam lokap kita kehilangan masa.  Masa berjalan amat lambat. Kita tidak tahu siang atau malam. Lampu sentiasa terpasang. 

Tetiba saya terdengar pintu dibuka. Ini pasti telah melintasi jam 7 pagi. Ini tanda sarapan sampai. 

‘Bangun. Bangun. Selamat pagi bro…’. Saya bersuara membangunkan semua. YB Howard dan  Reza bangun

‘ Selamat pagi - good morning. Ingatkan Abang dah lari bebas. Tadi nampak. Lepas itu hilang. Rupanya pindah tempat.’ Armand menyampok.  Awal tidur saya  melintang  dibawah kaki Armand. Bila terlalu sejuk saya pindah ke tempat saya agak tersorok. Hilang dari pandangan Armand.

Sarapan dihantar oleh Mat Bangla yang mungkin sudah jadi ‘senior’ dalam lokap. Ini bukan  Full English Breakfast tapi teh o paling nipis dan sakeping roti yang ada setitik magrine. Semua terbugkus dalam plastik paling kecil.Khalas.

‘ Cik Gu pukul berapa?  Bila lawyer sampai.’ Armand melaung  tanpa jawapan. Kami tahu hari ini hari Ahad kami wajib dibawa ke lokap Jinjang untuk pembebasan atau sambung reman.

‘ Tidor okay ... bising sikit. Tapi nasib baik tak ada nyamuk..’ YB Howard memberi komen positif tentang Dang Wangi.

‘Isham… dia ada bantal..kena cari botol mineral buat macam dia…’ Reza mengeluarkan pendapat bagaimana saya telah berjaya membuat bantal dari botol kosong dan sampah-sampah plastik. Ini pengalaman terkumpul - sudah jadi ilmu.

Saya pergi mandi berbogel ke bilik sebelah. Yang lain saya tidak tahu apakah mereka mandi atau tidak. Kami semua melangok menunggu pintu dibuka untuk bertemu peguam.

Rasa saya hampir jam sepuluh Cik Gu datang membawa kertas dan menyebut nama kami satu persatu. Kami dikeluarkan. Bersalin pakaian untuk dibawa ke Jinjang. Kali ini kami  berempat naik van. Tetiba saya rasa aku satu yang ganjil. Mamat Baju Kuning pemilik drone itu tidak ada bersama kami. Dia hilang entah kemana.

Dari pengalaman zaman Reformasi - ada juga OKT REFORMASi - kena tahan bersama dan  masuk lokap.Kemudian hilang bagitu saja. Ini berlaku dalam lokap Rumah Pasong Jalan Stadium ketika saya ditahan bersama Azmin Ali, Tian Chua, Sivarasa. Dr Hatta - kerana demo Arsenik tahun 2000.

Tapi  saya juga terlatih dan berpengalanan dalam hal-hal saperti ini. Bila ini berlaku -  Si Mamat yang hilang  itu adalah ajen polis yang dimasukkan sama  untuk tujuan ‘memasang’ terlinga’. Si Drone ini saya tidak tahu apa terjadi.

Sampai di Jinjang para peguam telah menunggu. Hati kami lega. Kami dibawa masuk ke sel  menunggu. Disini kami bertembung dengan Tian , Mandeep , Ronnie, Safuan , Arul dan Lokman - pelajar UM. Lokman dan Tian baru masuk tidak dibawa ke Dang Wangi tapi ke Jinjang.  Yang lain  telah ditahan awal. Mereka sedang bersedia untuk dibebaskan satelah dua hari direman.

Heboh. Heboh. Gegak gempita lokap Jinjang. Semua bersalam dan bertanya khabar. Bersalaman macam sudah berpuluh tahun tak jumpa. Ini namanya setiakawan lokap. Hanya yang pernah masuk lokap sahaja tahu perasaan apabila terjumpa kenalan  dalam lokap yang sama.

‘ Makanan kali ini dan berubahlaaa… dah best..’ Mandeep  yang telah beberapa kali masuk Jinjang membuat review makanan Lokap Jinjang. Tapi saya tak ambil pot tentang makanan. Mata saya mencari-cari. 

Tetiba saya ternampak Orang Kanan  Si Jamal Baju Merah. Dimana Jamal berada  muka Si Mamat  ini pasti ada sama. Ketika saya diserang di Lumut saya nampak Si Mamat ini ada bersama. Dan saya ternampak dia  menghalang kami di Telok Intan. Nama Mamat ini ialah Razali Zakaria. Dikatakan dia ini berkas soldadu.

Dari dalam sel saya lihat Si Razali ini  beratur untuk menukar pakaian dan mengambil barang-barang untuk dibebaskan. Tetiba muncul seorang lagi dari Kumpulan Baju Merah. Si Mamat ini bernama Ariffin yang sentiasa tersenyum dan besalaman. Tapi Si Ariffin ini memakai baju puteh lengan panjang. Apakah dia  sedang menyamar.  Kalau  Mamat ini menyamar dengan baju puteh jelas dia telah gagal.

Saya nampak Armand berbual mesra dengan Razali. Apa yang mereka sembang wallah hu alam bisawab.  Tapi suasana ruang lokap ini ceria dan penuh kegumbiraan . 

Kami dimasukkan ke lokap atas tuduhan cuba merusuh. Tuduhan ini nampaknya meleset. Orang number dua dan number tiga  dari Kumpulan Baju Merah tidur satu sel dengan kumpulan Bersih. Tidak  berlaku apa-apa rusuhan. Atau ini kerana  Si Jamal  tidak bersama?

Ditepi jeriji sel  Mandeep telah datang berbisik. Dia menerangkan ada yang ternampak Si Razali mengeluarkan seketul duit yang banyak dari sakunya apabila dia menyerahkan barang-barang sebelum dilokap. Ah! Apakah Si Mamat   Tun Daim untuk Jamal?  

Tapi si Armand amat cekap. Dia berkesah  ketika dia dicekup polis - talipon bimbit, dompet dan semua barangan telah lama diserahkan pada pembantunya. Tidak ada apa-apa yang memudaratkan dibadannya. Si Armand ini bijak.

Tahanan awal dibawa keluar. Kami kini dibawa ke bilik peguam. Disana Gobind, Siva, Surendran, Melisa telah bersedia untuk menjadi peguam.  Mereka datang dengan dua pembantu.  Peguam Armand seorang wanita muda  ada bersama. Lokman anak mahsiswa UM juga diwakili oleh dua peguam wanita muda. Nampaknya peguam lebih ramai dari  yang dituduh.

Wajib saya beri tahu disini bahawa di Jinjang ada sebuah mahkamah kecil yang membolehkan OKT  dihadapkan ke muka pengadilan.Ini kerana mengikut undang-undang - semua  warga Malaysia malah sesiapa sahaja yang ditahan di Malaysia wajib dalam masa 24 jam dihadapkan ke hadapan  Tuan Megistrate.

Pihak polis boleh meminta tambahan hari reman atau OKT dibebaskan.  Kerana kami yang ditahan ini dianggap diketahui umum maka mustahil kami akan  dihilangkan dari lokap ke lokap. Ini sering beraku. Disini peranan para peguam, Ngo hak asasi dan saudara mara amat-amat penting agar OKT tidak hilang dalam lokap. 

Sebelum masuk ke bilik mahkamah - dibilik peguam  Gobind telah meminta kebenaran dari Armand untuk memasukan dirinya sama dalam hujahan nanti. Ini kerana walau pun dari kumpulan yang berbeza tapi  kami semua  menghadapi tuduhan yang sama. Maka hujah Gobind juga sama boleh dipakai untuk Armand. Si Armand dan peguamnya bersetuju.

Nampak jelas bahawa Gobind dan para peguam Bersih tidak mengenepikan Si Armand. Walau pun selama lebih dari satu bulan Kumpulan Baju Merah dan Baju Kuning bertempur. Merah dan Kuning dua musuh ketat. Tapi bila dhadapan Tuan Mejistrate Gobind, Siva dan Surendran berhujah untuk semua.  Untuk saya inilah  kelebihan sikap demokratik peguam dari Pakatan.  Dalam hal salah benar mereka tidak menjalankan diskriminasi.

Peguam Armand  memulakan hujah. Kemudian peguam Lokman. Sesudah dua peguam ini berhujah  Gobind anak mendiang Karpal Singh membuka hujah. Kami enam orang  berdiri mendengar. Gobind juga meminta YB Zuraidah yang baru ditahan  dihantar ke hospital kerana dia masih lagi dalam rawatan - pembedahan dua lutut.

Saya bagitu yakin dengan hujah-hujah dan rujukan kes dari   Gobind , Siva dan Surendran. Kami yakin kami akan dibebaskan. Reman empat hari yang diminta oleh  ASP Tan Shyong Shan akan ditolak. 

Tuan Megistrate Jinjang seorang lelaki Melayu empat puluhan. Dua hari yang lalu dia telah mengarahkan Mandeep dan yang lain-lain  direman selama dua hari. Kami tidak tahu apa yang akan terjadi pada kami kerana BERSIH5 telah lama selesai.

Tapi yakinlah bahawa Malaysia ini negara Dunia Ketiga. Dalam Dunia Negara Dunia Ketiga semua jentera kerajaan akan digunakan untuk mempertahankan kuasa yang sedia ada. Ini hakikat politik Dunia Ketiga. Tetapi sesekali saya terlupa juga tentang hakikat ini. Terutama apabila  harapan  melonjak tinggi   dan menenggelamkan fikrah rasional saya.

Akhiranya Tuan Mejistrate membuat keputusan  agar kami direman dua hari. Para OKT berpandangan.  Reman empat hari permintaan polis ditolak. Hujah ASP Tan kenapa kami perlu direman kerana Bukit Aman masih mahu menjalankan siasatan.

Dari lokap kami  dimasukan  ke dalam Black Maria untuk ke Dang Wangi.  Rupa-rupanya para tahan  awal telah berada dalam kereta yang sama.

Semua tahanan  kes Bersih5 berada dalam sebuah  Black Maria kecuali  YB Zuraidah yang akan dibawa ke hopspital. Saya duduk disebelah Armand.  Kami  telah mesra dan bukan lagi musuh. Diluar pintu penjara Jinjang kelihatan para  penyokong Merah dan Kuning. Mereka melaung-laungkan slogan tanda setiakawan.

‘ Peguam kamu tadi  dari mana?  Saya bertanya  pada Armand. 

‘ Kamu semua sedang tdur.. Tak ada siapa sedar…peguam saya datang….’

Wow. Inilah tanda bahawa Datuk Armand ini bukan calang orang. Peguam boleh datang melawat lewat tengah malam. Inilah tanda jelas bahawa sebagai Exco Pemuda United Malays National Organisation - tengah malam buta pun rumah pasong boleh dibuka untuk lawatan peguam.

Kami   terus dibawa menunggu di Tingkat 7.  Waktu makan telah lama melintas. Ronnie Liu dari DAP menalipon pembantunya  untuk membawa makanan. Tapi gagal  kerana talipon tidak ada bateri. 
Akhirnya kami semua diselamatkan oleh YB Eli Wong yang datang dengan Nasi Mamak.

Satelah selesai makan para tahanan awal terus dibebaskan. Kami berenam  masih menunggu pegawai dari Bukit Aman.  Kami diberitahu tim Special Branch akan datang. Kami menunggu. Pembaca juga wajib tunngu hingga minggu depan. (TT)

NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45



---------------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sejak umur 14tahun. di tahun 2000 aku mula membaca tulisan2 hang. sejak dari tu jugaklah aku selongkar cari apa saja yang hang tulis sampailah skrg ni aku berumur 31 aku kagum dgn cerita dan gaya penulisan hang. tapi hari ni aku frust. tulisan ni gagal. kosong. takdak cerita. mcm ni punya story pun boleh terbit kat suara keadilan? aduh come on isham...... jangan ulang mistake ni lagi